Photobucket

Selasa, 01 Maret 2011

MENUNDA AMAL TANDA KEBODOHAN

MENUNDA AMAL KEBAIKAN
KERANA MENANTIKAN
KESEMPATAN YANG LEBIH
BAIK ADALAH TANDA
KEBODOHAN.
Hikmat yang lalu memaparkan
kebodohan yang timbul kerana
kejahilan tentang kekuasaan
Tuhan. Hikmat 26 ini pula
memaparkan kebodohan yang
timbul lantaran kelalaian. Orang
yang mabuk dibuai oleh ombak
kelalaian tidak dapat melihat
bahawa pada setiap detik pintu
rahmat Allah s.w.t sentiasa
terbuka dan Allah s.w.t sentiasa
berhadap kepada hamba-hamba-
Nya. Setiap saat adalah
kesempatan dan tidak ada
kesempatan yang lebih baik
daripada kesempatan yang
memperlihatkan dirinya kepada
kita. Kesempatan yang paling
baik ialah kesempatan yang kita
sedang berada di dalamnya.
Kelalaian adalah buah kepada
panjang angan-angan. Panjang
angan-angan pula datangnya
dari pokok kurang ingatan
kepada mati. Jadi, ubat yang
paling mujarab untuk mengubati
penyakit kelalaian ialah
memperbanyakkan ingatan
kepada mati. Apabila ingatan
kepada mati sudah kuat maka
seseorang itu tidak akan
mengabaikan kesempatan yang
ada baginya untuk melakukan
amal salih.
Hikmat ke 26 jika ditafsir secara
umum menganjurkan agar
segala amal kebaikan hendaklah
dilakukan dengan segera tanpa
bertangguh-tangguh. Jika
diperhatikan Kalam-kalam
Hikmat yang lalu dapat
difahamkan bahawa Hikmat
yang dipaparkan berperanan
membimbing seseorang pada
jalan kerohanian. Amal yang
ditekankan adalah amal yang
berhubung dengan
pembentukan rohani. Hikmat 27
nanti akan memperkatakan
tentang makam iaitu suasana
kerohanian. Jadi, jika ditafsir
secara khusus Hikmat 26 ini
menganjurkan bersegera
melakukan amal-amal yang perlu
bagi menyediakan hati untuk
menerima kedatangan hal-hal
dan seterusnya mencapai
makam-makam. Amal yang
berkenaan ialah latihan
kerohanian menurut tarekat
tasauf. Latihan yang demikian
harus disegerakan sebaik sahaja
mendapat kesempatan, tanpa
menanti kedatangan
kesempatan yang lain yang
diharapkan lebih baik dan lebih
sesuai.
Ketika menjalani latihan
kerohanian secara tarekat
tasauf kehidupan hanya
dipenuhi dengan amal ibadat
seperti sembahyang, puasa,
berzikir dan lain-lain Semua
amalan tersebut dilakukan
bukan bertujuan untuk
mengejar syurga tetapi semata-
mata untuk mendapatkan
keredaan Allah s.w.t dan
mendekatkan diri kepada-Nya.
Amalan seperti inilah yang
membuka pintu hati untuk
berpeluang mengalami hal-hal
yang membawa kepada hasil
yang diharapkan iaitu
makrifatullah. Sesiapa yang
benar-benar ingin mencari
keredaan Allah s.w.t dan
berhasrat untuk menghampiri-
Nya serta mengenali-Nya
hendaklah jangan bertangguh-
tangguh lagi. Usah dicari
kesempatan yang lebih baik.
Jangan menjadikan masalah
keduniaan sebagai alasan untuk
menunda tindakan bergiat
mencari keredaan Allah s.w.t.
Bulatkan tekad, kuatkan azam,
masuklah ke dalam golongan ahli
Allah s.w.t yang beramal dan
bekerja semata-mata kerana
Allah s.w.t. Benamkan diri
sepenuhnya ke dalam suasana
‘ Allah’ semata-mata dan
tinggalkan apa sahaja yang
selain Allah s.w.t buat seketika.
Anggapkan latihan yang
demikian seperti keadaan ketika
menunaikan fardu haji di Tanah
Suci. Selama di Tanah Suci,
segala-galanya ditinggalkan di
tanah air sendiri. Di hadapan
Baitullah seorang hamba
menghadap dengan sepenuh
jiwa raga kepada Tuhannya. Dia
tidak khuatirkan keluarga, harta
dan pekerjaan yang ditinggalkan
kerana semuanya sudah
diserahkannya kepada
penjagaan Allah s.w.t. Allah s.w.t
adalah Pemegang amanah yang
paling baik. Dia menjaga dengan
sebaik-baiknya apa yang
diserahkan kepada-Nya. Syarat
penyerahan itu adalah
keyakinan.
Perlu juga dinyatakan bahawa
latihan kerohanian secara
tarekat tasauf bukanlah satu-
satunya jalan kepada Allah s.w.t.
Tujuan utama latihan secara
tasauf adalah untuk
mendapatkan ikhlas dan
penyerahan yang menyeluruh
kepada Allah s.w.t. Ikhlas dan
penyerahan boleh juga
diperolehi walaupun tidak
menjalani tarekat tasauf tetapi
tanpa latihan khusus
pembentukan hati kepada
suasana yang demikian adalah
sukar dilakukan.
Jalan yang tidak ada latihan
khusus adalah jalan kehidupan
harian. Pada jalan ini orang yang
beriman perlu bekerja kuat
untuk menjalankan peraturan
Islam dan mempertahankan
iman. Pancaroba dalam
kehidupan harian sangat banyak
dan orang yang beriman perlu
berjalan dicelah-celahnya,
menjaga diri agar tidak
tertawan dengan penggoda.
Kewaspadaan dalam kehidupan
harian itu adalah sifat takwa.
Orang yang bertakwa adalah
orang yang mulia pada sisi Allah
s.w.t.
Walau jalan mana yang dilalui
matlamatnya adalah
memperolehi ikhlas, berserah diri
dan bertakwa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar