Photobucket

Rabu, 09 Maret 2011

JALAN KEPADA ALLAH SWT

KADANGKALA DIBUKAKAN
KEPADA KAMU PINTU TAAT
TETAPI TIDAK DIBUKAKAN
PINTU MAKBUL PERMINTAAN.
KADANGKALA KAMU
TERDORONG KE DALAM DOSA
TETAPI DOSA ITU MENJADI
SEBAB MENYAMPAIKAN KAMU
(KEPADA ALLAH S.W.T).
MAKSIAT YANG MELAHIRKAN
RASA HINA DIRI (KEPADA
ALLAH S.W.T) DAN RASA
BERHAJAT KEPADA-NYA LEBIH
BAIK DARIPADA TAAT YANG
MELAHIRKAN RASA MEGAH
DAN TAKBUR.
Allah s.w.t menyediakan
beberapa jalan bagi hamba-Nya
mendekatkan diri kepada-Nya.
Ada jalan positif dan ada jalan
negatif. Jalan positif adalah jalan
taat dan jalan negatif adalah
jalan maksiat. Kedua-dua jalan
tersebut berbeza pada
permulaannya tetapi
mempunyai persamaan pada
akhirannya. Walau jalan mana
yang dilalui ia tidak sunyi dari
ujian. Orang yang melalui jalan
taat berkemungkinan diuji
dengan permintaannya tidak
dimakbulkan. Ujian yang seperti
ini baik bagi mendidik
rohaninya. Biasanya orang yang
mengambil jalan taat cenderung
untuk melihat kepada amal
ketaatannya. Amal ibadat yang
dilakukan dengan banyak sangat
menyenangkan hatinya. Dia
mudah merasakan ketaatannya
itulah yang menyampaikannya
kepada Tuhan. Dia melihat
perubahan yang berlaku pada
dirinya dari malas beribadat
kepada rajin beribadat, sifat-
sifat yang tidak baik tertanggal
darinya, lalu dia mengaitkan
kebaikan yang berlaku pada
dirinya dengan amal ibadat yang
dikerjakannya. Dia meletakkan
pencapaiannya pada amalannya.
Dia juga mudah merasakan
bahawa dirinya sudah suci
bersih, sudah hampir dengan
Allah s.w.t dan tentu sahaja Allah
s.w.t memperkenankan segala
permintaannya.
Tanpa dia menyedari perasaan
yang demikian menghalang
kemajuan rohaninya. Perasaan
tersebut memperkuatkan
kesedaran diri sendiri kerana dia
dikuasai oleh kepentingan diri
sendiri. Sifat ini tidak sesuai bagi
mendekati Allah s.w.t kerana
orang yang hampir dengan Allah
s.w.t lebih senang dengan
pilihan Allah s.w.t dari kehendak
diri sendiri. Bertambah hampir
dengan Allah s.w.t bertambahlah
dia karam dalam kerelaan
terhadap takdir Ilahi, sehingga
dia tidak mempunyai
kepentingan diri sendiri lagi,
semuanya diserahkan kepada
Allah s.w.t.
Orang yang masih mempunyai
hajat dan permintaan adalah
orang yang belum bulat
penyerahannya kepada Allah
s.w.t. Dia masih dihijab oleh
kepentingan duniawi atau
ukhrawi. Jika Allah s.w.t
berkehendak menyampaikan
hamba ini kepada-Nya, maka Dia
akan menghancurkan
kepentingan dirinya sehingga
dia tidak berhajat kepada apa-
apa lagi kecuali sampai kepada
Allah s.w.t. Dalam proses
menghancurkan kepentingan
diri itu permintaannya tidak
dimakbulkan. Apabila
permintaannya tidak
dimakbulkan sedangkan amal
ketaatannya sangat banyak, dia
akan mengalihkan
pandangannya dari ketaatannya
kepada Allah s.w.t yang
memegang hak memberi dan
menolak. Dia tidak lagi melihat
amal ketaatannya menjadi sebab
untuknya sampai kepada Allah
s.w.t. Dia akan melepaskan
pergantungan kepada amal
ketaatan lalu dia menyerahkan
dirinya kepada Allah s.w.t.
Penyerahan membawanya reda
dengan apa yang Allah s.w.t
takdirkan untuknya. Apabila dia
reda dengan Allah s.w.t dan Allah
s.w.t reda dengannya maka dia
dibawa hampir kepada-Nya.
Masuklah dia ke Hadrat Allah
s.w.t tanpa sebarang
kepentingan diri sendiri.
Jalan satu lagi adalah jalan
orang yang melakukan
kesalahan, dosa dan maksiat.
Kebanyakan orang yang sampai
kepada Allah s.w.t, melalui jalan
ini. Syaratnya mereka tidak
berputus asa dari rahmat Allah
s.w.t. Manusia pertama
diciptakan Allah s.w.t, iaitu Adam
a.s telah melakukan kesalahan
kerana tidak berpegang kepada
amanat yang Allah s.w.t
pertaruhkan kepadanya. Firman
Allah s.w.t:
Kemudian mereka berdua (Adam
dan Hawa) memakan (buah) dari
(pohon) itu, lalu terdedahlah
kepada mereka aurat masing-
masing, dan mereka mulailah
menutupnya dengan daun-daun
dari syurga; dan dengan itu
derhakalah Adam kepada
Tuhannya, lalu tersalah jalan
(dari mencapai hajatnya).
Kemudian Tuhannya memilihnya
(dengan diberi taufik untuk
bertaubat), lalu Allah menerima
taubatnya serta diberi petunjuk.
( Ayat 121 – 122 : Surah
Taha )
Adam a.s telah melakukan
kesalahan tetapi beliau a.s
mengakui kesalahan tersebut
dan bertaubat kepada Allah
s.w.t. Allah s.w.t menerima
taubat beliau a.s dan menjadikan
beliau a.s sebagai hamba pilihan
dan membimbingnya. Apa yang
berlaku kepada Adam a.s
seharusnya menjadi teladan
kepada umat manusia
sekaliannya. Adam a.s tidak
berdolak-dalik, tidak mengada-
adakan alasan. Beliau a.s
mengakui dengan jujur akan
kesilapannya dan memohon
keampunan dari Allah s.w.t serta
berserah diri kepada-Nya.
Kesilapan Adam a.s diabadikan di
dalam kitab-kitab suci, dibaca
oleh semua umat manusia pada
semua zaman. Adam a.s tidak
terkilan kerana Allah s.w.t
mendedahkan kesalahannya
kepada sekalian makhluk. Beliau
a.s tidak meminta Allah s.w.t
menyembunyikan kesalahan
yang telah dibuatnya itu. Beliau
a.s reda dengan apa juga
keputusan Allah s.w.t. Apabila
seseorang reda dengan
keputusan Allah s.w.t, tidak ada
siapa lagi yang ditakutinya
kecuali Allah s.w.t.
Sikap yang ditunjukkan oleh
manusia umum berbeza
daripada sikap yang telah
ditunjukkan oleh bapa mereka,
Adam a.s. Biasanya ejekan,
sindiran dan kata-kata orang
ramai mempengaruhi jiwa
seseorang yang pernah berbuat
salah. Dia akan berikhtiar
bersungguh-sungguh untuk
menyembunyikan kesalahannya.
Jika kesalahannya diketahui oleh
orang lain dia akan berasa
terhina. Manusia umum malu
kepada sesama manusia tetapi
tidak malu kepada Allah s.w.t
yang sentiasa melihat
perbuatannya. Berbeza dengan
Adam a.s, malunya kepada Allah
s.w.t membuatnya lupa kepada
yang lain dan rela dengan apa
juga yang Allah s.w.t kenakan
kepadanya sebagai hukuman.
Beliau a.s diberikan hukuman
yang sangat berat, iaitu
dikeluarkan dari syurga, tempat
yang senang lenang, kepada
dunia yang penuh dengan
kepayahan. Beliau a.s menerima
kehidupan yang sukar ini dan
menghabiskan hayatnya di atas
muka bumi dengan berbuat taat
kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t
memuji sikap tersebut:
Dan orang-orang yang apabila
melakukan perbuatan keji, atau
menganiaya diri sendiri, mereka
segera ingat kepada Allah lalu
memohon ampun akan dosa
mereka, dan sememangnya tidak
ada yang mengampunkan dosa-
dosa melainkan Allah, dan
mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka
telah lakukan itu, sedang
mereka mengetahui (akan
salahnya dan akibatnya). Orang-
orang yang demikian sifatnya,
balasannya ialah keampunan
dari Tuhan mereka, dan syurga-
syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai,
mereka kekal di dalamnya; dan
yang demikian itulah sebaik-baik
balasan (bagi) orang-orang yang
beramal. ( Ayat 135 – 136 :
Surah a-li ‘Imran )
Kesalahan, maksiat dan dosa
sering melahirkan manusia yang
insaf, bertaubat dan kembali
kepada Allah s.w.t. Mereka
menghambakan diri sepenuhnya
kepada-Nya. Allah s.w.t senang
dengan mereka lalu Dia
membawa mereka hampir
dengan-Nya. Keadaan mereka
jauh lebih baik daripada orang
yang pada zahirnya kuat
berbuat taat tetapi batinnya
diselimuti oleh ujub dan takbur,
melihat diri sudah sempurna dan
berbangga dengan banyaknya
amal yang dikerjakan dan ilmu
yang dimiliki. Orang yang ujub
dan takbur dijauhkan dari Allah
s.w.t, sedangkan mereka
menyangka bahawa mereka
didekatkan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar