Photobucket

Senin, 23 Mei 2011

TANDA-TANDA MATINYA HATI

SEBAHAGIAN DARIPADA
TANDA MATINYA HATI IALAH
APABILA TIDAK BERASA SEDIH
JIKA TERLEPAS SESUATU AMAL
KEBAIKAN DARIPADANYA DAN
TIDAK MENYESAL JIKA TERJADI
PERBUATAN YANG TIDAK BAIK
OLEHNYA.
Kita telah dinasihatkan supaya
jangan meninggalkan zikir
walaupun tidak hadhir hati
ketika berzikir. Begitu juga
dengan ibadat dan amal
kebaikan. Janganlah
meninggalkan ibadat lantaran
hati tidak khusyuk ketika
beribadat dan jangan
meninggalkan amal kebaikan
lantaran hati belum ikhlas dalam
melakukannya. Khusyuk dan
ikhlas adalah sifat hati yang
sempurna. Zikir, ibadat dan amal
kebaikan adalah cara-cara untuk
membentuk hati agar menjadi
sempurna. Hati yang belum
mencapai tahap kesempurnaan
dikatakan hati itu berpenyakit.
Jika penyakit itu dibiarkan, tidak
diambil langkah mengubatinya,
pada satu masa, hati itu
mungkin boleh mati. Mati hati
berbeza daripada mati tubuh
badan. Orang yang mati tubuh
badan ditanam di dalam tanah.
Orang yang mati hatinya, tubuh
badannya masih sihat dan dia
masih berjalan ke sama ke mari
di atas muka bumi ini.
Jika kita renungi kembali kepada
diri zahir manusia, kita akan
dapat menyusunnya sebagai
tubuh, nyawa, naluri-naluri dan
akal fikiran. Bila dibandingkan
dengan haiwan, kita akan
mendapati susunan haiwan
seperti susunan manusia juga..
Haiwan mempunyai tubuh
badan, nyawa dan naluri-naluri.
Bezanya adalah haiwan tidak
mempunyai akal fikiran. Oleh
sebab manusia memiliki akal
fikiran maka manusia boleh
diistilahkan sebagai haiwan
yang cerdik.
Haiwan yang cerdik (manusia),
dipanggil nafsu natiqah
menurut istilah tasauf .
Pemilikan akal tidak mengubah
manusia dari status kehaiwanan.
Jika ada haiwan berbangsa
monyet, harimau, kuda dan lain-
lain, maka ada haiwan
berbangsa manusia. Haiwan
berbangsa manusia menjadi raja
memerintah semua haiwan yang
lain. Akal fikiran yang ada pada
mereka membuat mereka boleh
membentuk kehidupan yang
lebih sempurna dari haiwan lain
yang tidak berakal. Akal fikiran
juga mampu membuat haiwan
bangsa manusia menawan
daratan, lautan dan udara.
Walaupun mereka berjaya
menawan daratan dengan
kenderaan mereka namun, itu
tidak membezakan mereka
daripada kuda dan haiwan lain
yang mampu juga menawan
daratan. Walaupun mereka
berjaya menawan lautan namun,
itu tidak membezakan mereka
daripada haiwan ikan yang juga
menggunakan lautan. Walaupun
mereka berjaya menawan udara
namun, itu tidak membezakan
mereka daripada haiwan burung
yang juga menggunakan udara.
Kemampuan yang ditunjukkan
oleh akal fikiran tidak mengubah
status haiwan yang ada pada
manusia. Apakah yang
menjadikan manusia sebagai
insan, bukan haiwan?
Manusia menjadi istimewa
kerana memiliki hati rohani. Hati
mempunyai nilai yang mulia
yang tidak dimiliki oleh akal
fikiran. Semua anggota dan akal
fikiran menghala kepada alam
benda sementara hati rohani
menghala kepada Pencipta alam
benda. Hati mempunyai
persediaan untuk beriman
kepada Tuhan. Hati yang
menghubungkan manusia
dengan Pencipta. Hubungan
dengan Pencipta memisahkan
manusia daripada daerah
haiwan dan mengangkat darjat
mereka menjadi makhluk yang
mulia. Hati yang cergas, sihat
dan dalam keasliannya yang
murni, berhubung erat dengan
Tuhannya. Hati itu menyuluh
akal fikiran agar akal fikiran
dapat berfikir tentang Tuhan
dan kejadian Tuhan. Hati itu
menyuluh juga kepada anggota
tubuh badan agar mereka
tunduk kepada perintah Tuhan
dan menjauhi larangan-Nya. Hati
yang berjaya menaklukkan akal
fikiran dan anggota tubuh
badannya serta mengarahkan
mereka berbuat taat kepada
Allah s.w.t adalah hati yang
sihat.
Hati yang sihat melahirkan
takwa, iaitu pengabdian kepada
Allah s.w.t. Takwalah yang
membezakan kedudukan
seseorang hamba pada sisi
Tuhan. Semakin tinggi darjat
ketakwaan semakin hampir
seorang hamba dengan
Tuhannya. Semakin rendah
darjat takwa semakin hampir
seseorang dengan daerah
kehaiwanan. Jika takwa tidak
ada jadilah manusia itu haiwan
yang pandai berfikir dan
berkata-kata.
Haiwan yang pandai berfikir
inilah yang dikatakan manusia
yang mati hatinya. Dia tidak
dapat menggerakkan fikiran dan
anggotanya menuju kepada
Allah s.w.t. Bahagian yang
menghala kepada Pencipta tidak
berfungsi, hanya bahagian yang
menghala kepada alam benda
merupakan bahagian yang aktif.
Manusia yang mati hatinya atau
manusia yang berbangsa
haiwan ini tidak berasa sedih
jika terlepas peluang baginya
untuk melakukan amalan yang
mendekatkan diri dengan Tuhan
dan dia tidak berasa kesal jika
dia berbuat dosa dan maksiat
yang menjauhkan dirinya
daripada Allah s.w.t.
Kematian hati tidak dapat
dikenal jika seseorang itu
mengambil daya nilai keduniaan
sebagai piawaian. Ramai orang
yang menurut pengertian
tasauf sudah mati hatinya
tetapi mereka mencapai
berbagai-bagai kecemerlangan
dalam kehidupan dunia. Mereka
menjadi pemimpin kepada orang
ramai. Mereka menciptakan
berbagai-bagai benda keperluan
manusia. Mereka berjaya
mendaki Gunung Everest. Mereka
memegang bermacam-macam
rekod kejohanan. Mereka
menguasai kekayaan dan
berbagai-bagai lagi kejayaan dan
kecemerlangan.
Apa juga kejayaan dan
kecemerlangan yang diperolehi
hendaklah diletakkan di atas
neraca akhirat. Jika kejayaan dan
kecemerlangan itu mampu
menambahkan berat dacing
kebaikan, maka kejayaan dan
kecemerlangan itu adalah benar.
Jika tidak ia hanyalah
fatamorgana.