Photobucket

Rabu, 16 Maret 2011

NIKMAT DAN BALA' ADALAH JALAN MENUJU ALLAH SWT

SESIAPA YANG ENGGAN
MENGHADAP ALLAH S.W.T
DENGAN KEHALUSAN KURNIA-
NYA AKAN DIHERET (UNTUK
MENGHADAP-NYA) DENGAN
RANTAI UJIAN BALA.
Sekiranya Allah s.w.t telah
menentukan seseorang hamba-
Nya itu sampai kepada-Nya,
sudah pasti si hamba itu akan
sampai kepada-Nya. Hamba tadi
akan dibawa menghadap Allah
s.w.t melalui dua cara.
Pertama adalah secara lemah-
lembut. Diberi-Nya nikmat,
dibukakan jalan untuk taat dan
dipermudahkan perjalanannya
hingga dia sampai kepada Allah
s.w.t. Orang begini sesuai untuk
menerima pujukan. Ada pula
orang yang tidak endah bila
dipujuk. Cara kedua sesuai
untuknya. Cara kedua adalah
cara paksaan. Allah s.w.t
memutuskan apa sahaja yang
mengikat hamba-Nya tadi. Si
hamba itu telah menjadi enggan
berjalan menuju kepada Allah
s.w.t kerana dia diikat oleh
berbagai-bagai perkara seperti
harta, kekuasaan, perniagaan
dan sebagainya. Selagi perkara-
perkara itu mengikatnya selagi
itulah dia tidak dapat berjalan
kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t
yang mengasihani hamba tadi,
memutuskan semua ikatan
tersebut dengan cara
mendatangkan ujian bala
kepadanya. Ujian bala
memisahkan si hamba dari apa
jua yang menjadi penghalang
antaranya dengan Allah s.w.t.
Kemudian ujian bala membentuk
hati agar dia berputus asa dari
apa yang telah terpisah
daripadanya. Bila dia tidak
berhajat lagi kepada makhluk,
baharulah dia dibawa
menghadap Allah s.w.t. Dia
sudah boleh berjalan menuju
Allah s.w.t kerana beban berat di
atas bahunya sudah terbuang.
Kakinya berasa ringan untuk
melangkah, fikirannya tenang
dan jiwanya tenteram. Hatinya
dapat bermunajat kepada Allah
s.w.t dengan khusyuk kerana
tidak ada lagi gangguan duniawi
dan mata benda. Begitulah dua
jalan yang disediakan oleh Allah
s.w.t untuk membawa hamba-
hamba-Nya kepada-Nya. Allah
s.w.t berfirman:
Dan kepada Allah jualah sekalian
makhluk yang ada di langit dan
di bumi tunduk menurut,
samada dengan sukarela atau
dengan terpaksa; dan (demikian
juga) bayang-bayang mereka;
pada waktu pagi dan petang.
( Ayat 15 : Surah ar-Ra’d )
Walau jalan mana pun yang
ditempuh oleh seseorang hamba
itu, Allah s.w.t menantinya
dengan keampunan, rahmat dan
kasih sayang-Nya. Si hamba
dibawa hampir dengan-Nya dan
dikurniakan berbagai-bagai
nikmat yang menggembirakan
sehingga mereka tidak berasa
rugi lantaran berpisah daripada
kesenangan duniawi.
Ujian menjadi batu pengasah
untuk menggilap iman
seseorang. Ada orang diuji
dengan rezeki, ditaburkan rezeki
kepadanya atau disempitkan.
Keluasan rezeki membentuk
kesyukuran dan kesempitan
membentuk kesabaran. Jiwa
yang dicanai oleh kesyukuran
dan kesabaran akan
menimbulkan rasa penyerahan
dan pergantungan yang kuat
kepada Allah s.w.t. Keluasan
rezeki membuatnya mengenali
Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha
Pemurah. Kesempitan rezeki
membuatnya mengenali Allah
s.w.t Yang Maha Keras, Maha
Perkasa. Pada kedua-duanya dia
mengenali Allah s.w.t yang
menghalau takdir demi takdir
dengan penuh hikmat
kebijaksanaan.
(Mengapa mereka bersikap
demikian?) dan mengapa mereka
tidak melihat (dengan hati
mereka) bahawa Allah
memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendaki-Nya
(sebagai cubaan adakah orang
itu bersyukur atau sebaliknya),
dan Ia juga yang
menyempitkannya (sebagai
ujian samada diterima dengan
sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang
demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang
membuktikan kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang beriman.
( Ayat 37 : Surah ar-Ruum )
Orang yang beriman dengan
Allah s.w.t dan takdir-Nya akan
mendapat pimpinan-Nya. Allah
s.w.t berkuasa membalikkan
hati-hati. Dipimpin-Nya hati
orang yang beriman agar
menghadap kepada-Nya. Orang
yang dipimpin-Nya akan berasa
mudah untuk mengabdikan diri
kepada-Nya. Kehalusan
pimpinan-Nya itu membuat
hamba mengenali kekuasaan-
Nya pada membalikkan hati
yang keras menjadi lembut dan
yang malas beribadat menjadi
rajin.
Tidak ada kesusahan (atau bala
bencana) yang menimpa
(seseorang) melainkan dengan
izin Allah; dan sesiapa yang
beriman kepada Allah, Allah akan
memimpin hatinya (untuk
menerima apa yang telah
berlaku itu dengan tenang dan
sabar); dan (ingatlah), Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 11 : Surah at-
Taghaabun )
Orang-orang yang beriman akan
sentiasa diuji kerana ujian itu
membawa berbagai-bagai
ganjaran, nikmat dan kurniaan
dari Allah s.w.t. Kekuatan amal
ibadat tidak berdaya
mengangkat darjat seseorang
hamba, lalu Allah s.w.t hantarkan
ujian dan melalui ujian itulah
hamba-Nya dipersucikan dan
diangkat darjatnya. Dalam
melakukan yang demikian, Allah
s.w.t kenakan ujian kepada
hamba-Nya melalui perkara-
perkara yang hampir dengan
hamba itu, seperti harta dan
keluarga.
Sesungguhnya hartabenda kamu
dan anak-anak kamu itu
hanyalah menjadi ujian; dan di
sisi Allah jualah pahala yang
besar. ( Ayat 15 : Surah at-
Taghaabun )
Ujian menjadi pengasing,
mengasingkan hati yang
beriman dengan hati yang
kufur. Dalam medan ujian itu
ramai manusia disesatkan oleh
iblis kerana hati mereka
diselimuti oleh keraguan. Orang
yang beriman dapat bertahan
menghadapi gelombang ujian
itu, malah ujian menambahkan
kekuatan iman. Keupayaan
mengekalkan iman di dalam
mengharungi lautan ujian
membuat hamba menginsafi
bahawa sebenarnya Allah jua
yang memelihara imannya itu,
bukan kekuatan dirinya.
Dan sesungguhnya iblis telah
dapati sangkaannya tepat
terhadap mereka, iaitu mereka
menurutnya, kecuali sebahagian
dari orang-orang yang beriman
(yang tidak terpedaya dengan
hasutannya). Dan sememangnya
tiadalah bagi iblis sebarang
kuasa untuk menyesatkan
mereka, melainkan untuk
menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang
siapakah yang benar-benar
beriman kepada hari akhirat dan
siapa pula yang ragu-ragu
terhadapnya. Dan (ingatlah)
Tuhanmu sentiasa mengawal
serta mengawasi tiap-tiap suatu.
( Ayat 20 & 21 : Surah Saba’ )
Hamba yang dipelihara oleh Allah
s.w.t itulah yang akan menemui
kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar