Photobucket

Sabtu, 17 Maret 2012

MATAHATI YANG BUTA

KERAJINAN KAMU UNTUK
MEMPEROLEHI APA YANG
TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU
DI SAMPING KECUAIAN KAMU
TERHADAP KEWAJIPAN YANG
DIAMANATKAN
MENUNJUKKAN BUTA MATA
HATI.
Hikmat 5 ini merupakan lanjutan
kepada Hikmat yang lalu. Imam
Ibnu Athaillah menceritakan
kesan daripada hijab nafsu dan
hijab akal yang menutup hati
daripada melihat kepada takdir
yang menjadi ketentuan Allah
s.w.t. Ada tiga perkara yang
dikemukakan untuk direnungi:
1: Jaminan Allah s.w.t.
2: Kewajipan hamba
3: Mata hati yang mengenal
jaminan Allah s.w.t dan
kewajipan hamba.
Penyingkapan rahsia mata hati
adalah penting bagi memahami
Kalam Hikmat di atas. Mata hati
ialah mata bagi hati atau boleh
juga dikatakan kebolehan
mengenal yang dimiliki oleh hati.
Kadang-kadang mata hati ini
dipanggil sebagai mata dalam.
Istilah ‘mata dalam’ digunakan
bagi membezakan istilah ini
dengan mata yang zahir, iaitu
yang dimiliki oleh diri zahir. Diri
zahir terbentuk daripada daging,
darah, tulang, sumsum, rambut,
kulit dan lain-lain. Diri zahir ini
berkebolehan untuk melihat,
mendengar, mencium, merasa
dan menyentuh. Diri zahir
memperolehi kehidupan dari
perjalanan darah ke seluruh
tubuhnya dan aliran nyawa
dalam bentuk wap atau gas
yang keluar masuk melalui
hidung dan mulut. Jika darahnya
dikeringkan atau dibekukan
ataupun jika aliran wap yang
keluar masuk itu disekat maka
diri zahir akan mengalami satu
keadaan di mana sekalian
bahagiannya terhenti berfungsi
dan ia dinamakan mati! Diri zahir
ini jika disusun dapatlah
dikatakan bahawa ia terdiri
daripada tubuh dan nyawa serta
deria-deria yang dapat
mengenal sesuatu yang zahiriah.
Pusat kawalannya ialah otak
yang mengawal keberkesanan
deria-deria dan juga
mencetuskan daya timbang atau
akal fikiran.
Diri batin juga mempunyai
susunan yang sama seperti diri
zahir tetapi dalam keadaan
ghaib. Ia juga mempunyai tubuh
yang dipanggil kalbu atau hati.
Hati yang dimaksudkan
bukanlah seketul daging yang
berada di dalam tubuh. Ia
merupakan hati rohani atau hati
seni. Ia bukan kejadian alam
kasar, sebab itu ia tidak dapat
dikesan oleh pancaindera zahir.
Ia termasuk di dalam perkara-
perkara ghaib yang diistilahkan
sebagai Latifah Rabbaniah atau
hal yang menjadi rahsia
ketuhanan. Apabila di dalam
keadaan suci bersih ia dapat
mendekati Tuhan. Ia juga yang
menjadi tilikan Tuhan. Hati seni
ini juga memiliki nyawa yang
dibahasakan sebagai roh. Roh
juga termasuk di dalam
golongan Latifah Rabbaniah. Ia
adalah urusan Tuhan dan
manusia hanya mempunyai
sedikit pengetahuan
mengenainya.
Katakan: “Roh itu dari perkara
urusan Tuhanku; dan kamu tidak
diberi ilmu pengetahuan
melainkan sedikit sahaja”.
( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
Tubuh seni atau hati seni juga
mempunyai sifat yang
berkemampuan mencetuskan
pemahaman dan pengetahuan.
Ia dipanggil akal yang juga
termasuk di dalam golongan
Latifah Rabbaniah yang tidak
mampu dihuraikan. Akal jenis ini
berguna bagi pengajian tentang
ketuhanan. Tubuh zahir
mempunyai deria-deria untuk
mengenal perkara zahiriah.
Deria-deria tersebut dipanggil
penglihatan, pendengaran,
penciuman, perasaan dan
penyentuhan dan alat-alat yang
bersangkutan ialah mata, telinga,
hidung, lidah, tangan dan lain-
lain. Tubuh seni atau diri batin
juga mempunyai deria yang
mengenal perkara ghaib dan
deria ini dinamakan basirah atau
mata hati. Ia berbeza daripada
sifat melihat yang dimiliki oleh
mata zahir. Mata zahir melihat
perkara zahir dan mata hati
syuhud atau menyaksikan
kepada yang ghaib.
Apa yang ada di sekeliling kita
boleh dilihat melalui dua aspek
iaitu yang nyata dilihat dengan
mata zahir dan yang ghaib
dilihat dengan mata hati. Jika
kita ambil satu buku gula, mata
kasar melihat sejenis hablur
berwarna keputihan. Bila
diletakkan pada lidah terasalah
manisnya. Ketika menikmati
kemanisan itu kita seolah-olah
memandang jauh kepada
sesuatu yang tidak ada di
hadapan mata. Kelakuan
merenung jauh itu sebenarnya
adalah terjemahan kepada
perbuatan mata hati
memandang kepada hakikat gula
iaitu manis. Bagaimana rupa
manis tidak dapat diceritakan
tetapi mata hati yang melihat
kepadanya mengenal bahawa
gula adalah manis. Jika mata
zahir melihat sebilah pedang,
maka mata hati akan melihat
pada tajamnya. Jika mata zahir
melihat kepada lada, mata hati
melihat kepada pedasnya. Jadi,
mata zahir mengenal dan
membezakan rupa yang zahir
sementara mata hati mengenal
dan membezakan hakikat
kepada yang zahir. Mata hati
yang hanya berfungsi setakat
mengenal manis, tajam, pedas
dan yang seumpamanya masih
dianggap sebagai mata hati
yang buta. Mata hati hanya
dianggap celik jika ia mampu
melihat urusan ketuhanan di
sebalik yang nyata dan yang
tidak nyata.
Kekuatan suluhan mata hati
bergantung kepada kekuatan
hati itu sendiri. Semakin bersih
dan suci hati bertambah
teranglah mata hati. Jika ia
cukup terang ia bukan sahaja
mampu melihat kepada yang
tersembunyi di sebalik rupa
yang zahir di sekeliling kita
malah ia mampu melihat atau
syuhud apa yang di luar
daripada dunia. Dunia adalah
segala sesuatu yang berada di
dalam bulatan langit yang
pertama atau langit dunia atau
langit rendah. Langit rendah ini
merupakan sempadan dunia.
Selepas langit dunia dinamakan
Alam Barzakh. Meninggal dunia
membawa maksud roh yang
rumahnya iaitu jasad telah tidak
sesuai lagi didiaminya atau
dipanggil sebagai mengalami
kematian, dibawa keluar dari
langit dunia dan ditempatkan di
dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata hati ialah melihat
yang hakiki. Mata hati yang
mampu melihat dunia secara
keseluruhan sebagai satu wujud
akan mengenali apa yang hakiki
tentang dunia itu. Oleh sebab
penyaksian mata hati bersifat
tidak dapat dinyatakan secara
terang maka ia memerlukan
ibarat untuk mendatangkan
kefahaman. Ibarat yang biasa
digunakan bagi menceritakan
tentang hakikat dunia ialah:
“Dunia adalah seorang
perempuan yang sangat tua dan
sangat hodoh. Tubuhnya kotor
dan berpenyakit, menanah di
sana sini dan ada bahagiannya
yang sudah dimakan ulat ”.
Begitulah lebih kurang perasaan
orang yang melihat kepada
hakikat dunia dengan mata
hatinya. Bagaimana rupa hakikat
yang menyebabkan timbul
perasaan dan ibarat yang
demikian tidak dapat dihuraikan.
Mata hati yang lebih kuat
mampu pula menyaksikan Alam
Barzakh dan mengenali satu lagi
hakikat yang dinamakan
keabadian, iaitu sifat hari
akhirat. Kematian
membinasakan jasad dan kiamat
membinasakan alam seluruhnya
tetapi tidak membinasakan Roh
yang padanya tergantung kitab
amalan masing-masing. Ahli
maksiat tidak dapat
diselamatkan oleh kematian dan
kiamat. Ahli taat yang tidak
mendapat ganjaran yang
setimpal di dunia tidak binasa
ketaatannya oleh kematian dan
kiamat. Tanggungjawab
seseorang hamba akan terus
dipikulnya melepasi kematian,
Alam Barzakh, kiamat, Padang
Mahsyar dan seterusnya
menghadapi Pemerintah hari
pembalasan. Tanggungjawab itu
hanya gugur setelah Hakim Yang
Maha Bijaksana dan Maha Adil
lagi Maha Mengetahui serta Maha
Perkasa menjatuhkan hukuman.
Inilah hakikat yang ditemui oleh
mata hati yang menyelami Alam
Barzakh, bukan melihat roh
orang mati di dalam kubur.
Mata hati berfungsi mengenal
perkara yang ghaib. Makrifat
atau pengenalan kepada
keabadian atau hari akhirat akan
melahirkan kesungguhan pada
menjalankan amanat Allah s.w.t
iaitu mengerjakan perintah-
perintah-Nya dan menjauhi
larangan-larangan-Nya. Amanat
itu akan terus dibawa oleh para
hamba untuk diserahkan
kembali kepada Allah s.w.t yang
meletakkan amanat tersebut
kepada mereka. Makrifat mata
hati yang demikian melahirkan
sifat takwa dan beramal salih.
Apabila takwa dan amal salih
menjadi sifat seorang hamba
maka masuklah hamba itu ke
dalam jaminan Allah s.w.t.
Dialah Tuhan yang
memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda keesaan-Nya dan
kekuasaan-Nya (untuk
menghidupkan rohani kamu),
dan yang menurunkan (untuk
jasmani kamu) sebab-sebab
rezeki dari langit. Dan tiadalah
yang ingat serta mengambil
pelajaran (dari yang demikian)
melainkan orang yang sentiasa
bertumpu (kepada Allah). ( Ayat
13 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t berfirman dalam
Hadis Qudsi:
Hamba-Ku, taatilah semua
perintah-Ku, jangan membeber
keperluan kamu.
Allah s.w.t sebagai Tuhan, Tuan
atau Majikan tidak sekali-kali
mengabaikan tanggungjawab-
Nya untuk memberi rezeki
kepada hamba-hamba-Nya
sementara hamba-hamba pula
berkewajipan mentaati Tuan
mereka. Rezeki telah dijamin
oleh Allah s.w.t dan untuk
mendapatkan rezeki tersebut
seseorang hamba hanya perlu
bertindak sesuai dengan
makamnya. Jika dia seorang ahli
asbab maka bekerjalah ke arah
rezekinya dan jangan iri hati
terhadap rezeki yang
dikurniakan kepada orang lain.
Jika dia ahli tajrid maka
bertawakallah kepada Allah s.w.t
dan jangan gusar jika terjadi
kelewatan atau kekurangan
dalam urusan rezeki. Walau
dalam makam manapun
seseorang hamba itu berada dia
mesti melakukan kewajipan iaitu
bersungguh-sungguh mentaati
Allah s.w.t dengan mengerjakan
perintah-Nya dan meninggalkan
larangan-Nya. Hamba yang
terbuka mata hatinya akan
percaya dengan yakin terhadap
jaminan Allah s.w.t dan tidak
mencuaikan kewajipannya.
Hamba ini akan melipat-
gandakan kegiatan dan
kerajinannya untuk bertakwa
dan beramal salih tanpa
mencurigai jaminan Allah s.w.t
tentang rezekinya.
Hamba yang buta mata hatinya
akan berbuat yang berlawanan
iaitu dia tekun dan rajin di dalam
mencari rezeki yang dijamin oleh
Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan
tanggungjawab yang
diamanatkan oleh Allah s.w.t.
Orang ini akan menggunakan
daya usaha yang banyak untuk
memperolehi rezeki yang boleh
didapati dengan daya usaha
yang sederhana tetapi
menggunakan daya usaha yang
sedikit dengan harapan untuk
mendapatkan sesuatu yang
tidak mungkin didapati kecuali
dengan daya usaha yang gigih
dan perjuangan yang hebat iaitu
pahala-pahala bagi amal salih.
Mata hati melihat kepada yang
hak dalam keghaiban. Nafsu
yang hanya berminat dengan
kebendaan yang nyata
menutupi yang hak itu dan akal
mengadakan hujah untuk
menguatkan keraguan yang
tumbuh pada nafsu. Perkara
ghaib disaksikan dengan
keyakinan. Jika nafsu dan akal
bersepakat mengadakan
keraguan, kebenaran yang ghaib
akan terhijab. Orang yang
mencari kebenaran tetapi gagal
menundukkan nafsu dan
akalnya akan berpusing-pusing
di tempat yang sama. Keyakinan
dan keraguan sentiasa
berperang dalam jiwanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar