Photobucket

Selasa, 20 Maret 2012

KEMULIAAN YANG KEKAL ABADI

JIKA ENGKAU
BERKEHENDAKKAN
KEMULIAAN YANG ABADI
JANGANLAH ENGKAU MENCARI
KEMULIAAN YANG
SEMENTARA.
Manusia mencari kemuliaan
melalui berbagai-bagai cara.
Mereka mencarinya melalui
harta, pangkat dan kekuasaan.
Ada yang mencarinya melalui
ilmu dan amal. Ada yang
mencarinya melalui wajah yang
cantik dan suara yang merdu.
Ada pula mencarinya melalui
tindakan yang mencabar seperti
terjun dari tempat yang tinggi.
Semua kemuliaan yang
diperolehi dengan cara demikian
bersifat sementara. Bila orang
yang berkenaan berpisah
daripada alat yang
menjadikannya mulia maka
hilang juga kemuliaan yang
dimilikinya. Semua kemuliaan
tersebut adalah fatamorgana.
Orang yang berpangkat,
berkuasa dan berharta akan
tidak berasa mulia lagi bila
berhadapan dengan orang yang
tinggi pangkatnya, lebih besar
kuasanya dan lebih banyak
hartanya. Orang yang
dimuliakan kerana
kecantikannya tidak dimuliakan
lagi apabila wajahnya sudah
berkedut. Orang yang
dimuliakan kerana kemerduan
suaranya tidak dimuliakan lagi
bila ada orang lain yang lebih
merdu suaranya. Orang yang
dimuliakan kerana berani terjun
dari tempat yang tinggi tidak
dimuliakan lagi bila ada orang
lain yang lebih berani terjun dari
tempat yang lebih tinggi.
Orang yang memiliki kemuliaan
yang bersifat sementara itu
tidak dapat merasakan
kedamaian kerana bimbangkan
kemuliaannya akan dicabar oleh
orang lain. Orang yang
dimuliakan kerana ilmu juga
bimbang takut-takut ada orang
lain yang lebih berilmu akan
mengambil alih kedudukannya.
Orang yang dimuliakan kerana
kekuatan amal kebaikannya
masih juga bimbang takut-takut
orang ramai mendapat tahu
akan keburukannya yang lalu
atau yang tersembunyi. Semua
kemuliaan tersebut akan
berakhir apabila manusia
mengalami kematian. Jasadnya
disemadikan di dalam tanah dan
kemuliaannya ditinggalkan di
atas kuburnya.
Jika diperhatikan benar-benar
didapati bahawa apa yang
dikatakan kemuliaan bukanlah
apa yang dimiliki dan bukan apa
yang diletakkan oleh orang lain
kepada seseorang itu. Kemuliaan
dan kemegahan adalah perasaan
yang timbul di dalam hati. Ada
orang yang kuasanya tidak
seberapa tetapi sudah
merasakan sangat mulia. Ada
orang yang hanya menjadi
pemandu raja tetapi sudah
berasa mulia seperti raja. Ada
orang yang namanya
disebutkan oleh pembesar
negeri di hadapan khalayak
ramai, pun sudah merasakan
dirinya mulia.
Kalam Hikmat yang lalu telah
memberi gambaran tentang
aspek zahir serta aspek batin.
Alam dalam aspek zahirnya
adalah tipu daya. Kemuliaan dan
kemegahan yang dibina di atas
tapak zahir alam juga bersifat
tipu daya, bukan asli dan sama
sekali tidak kekal. Kemuliaan dan
kemegahan yang demikian
hanyalah sangkaan.
Tidaklah patut mereka (orang-
orang munafik) mencari
kekuatan dan kemuliaan di sisi
orang-orang kafir itu, kerana
sesungguhnya kekuatan dan
kemuliaan itu ialah milik Allah,
(diberikan-Nya kepada sesiapa
yang dikehendaki-Nya). ( Ayat
139 : Surah an-Nisaa’ )
Hanya Allah s.w.t yang memiliki
kemuliaan. Tidak ada satu pun
makhluk yang dapat
mengwujudkan kemuliaan. Apa
yang dicipta oleh makhluk
hanyalah gambaran yang
menurut sangkaan. Kemuliaan
sejati hanya boleh didapati dari
Allah s.w.t. Jalannya adalah
dengan mengambil perhatian
kepada aspek batin yang
bersangkutan dengan
ketuhanan. Hamba Allah s.w.t
yang tidak tertipu oleh zahirnya
alam akan terus berpegang pada
aspek batinnya yang memberi
peringatan dan petunjuk. Mereka
bersabar dalam menempuh
gelombang takdir Ilahi sehingga
mereka terdampar di pantai
keredaan Ilahi.
Di sana dipakaikan kepada
mereka pakaian kemuliaan iaitu
tauhid yang benar. Tauhidlah
kemuliaan yang sejati dan abadi.
Tauhid mengajarkan hanya Allah
s.w.t Yang Maha Esa, Maha Mulia,
tidak yang lain. Apabila hati
seseorang sudah dipenuhi oleh
tauhid maka ia dipenuhi oleh
kemuliaan. Kemuliaan yang
dipancarkan oleh tauhid tidak
akan rosak binasa. Perpisahan
daripada benda-benda alam,
pendapat orang lain dan apa
sahaja tidak sedikit pun
menjejaskan hati yang
bertauhid. Hati yang sudah
penuh dengan kemuliaan Allah
s.w.t tidak lagi menghiraukan
penghinaan makhluk. Ia tidak
berakhir dengan kematian
kerana Allah s.w.t tidak binasa
dan kemuliaan-Nya juga tidak
binasa. Ia tetap mulia di dalam
kuburnya, mulia ketika
dibangkitkan dari kuburnya dan
lebih mulia lagi di akhirat yang
kekal abadi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar